Thursday, March 26, 2009

KJ Menang


Pelbagai reaksi timbul apabila keputusan Ketua Pemuda UMNO diumumkan malam tadi. Apa tidaknya, Khairy Jamaluddin, yang baru sahaja diberikan amaran kerana terlibat dengan politik wang telah menang (304 undi), menewaskan Khir Toyo (254 undi) dan Mukhriz Mahathir (232 undi).
Umum mengetahui, KJ memang cukup popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Digelar 'The Richest Jobless Man in Malaysia', KJ pasti akan mendapat jawatan yang lebih besar di dalam kerajaan selepas rombakan kabinet selaras dengan tradisi sebelum ini.
Saya bukan ahli Umno, jauh sekali ahli politik. Tetapi seperti yang saya katakan dalam post saya sebelum ini, siapa sahaja yang menang dalam pemilihan Umno kali ini, tentunya akan memberi impak kepada kepimpinan negara kita kerana mereka ini akan memegang jawatan utama dalam kerajaan.
Tidak dinafikan pengaruh KJ begitu besar sekali, kerana sabitan kesalahan politik wang yang dijatuhkan terhadapnya tidak menjatuhkan populariti beliau sama sekali dan akhirnya menang sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno.
Cuma satu yang merisaukan. Bagi saya ini soal intergriti. Rupanya masih ada ruang untuk pemimpin yang bersalah untuk diangkat sebagai ketua. Bagi saya ini cuma satu contoh kes di antara beribu malah mungkin berjuta yang kita tidak tahu. Memanglah KJ menafikan, tapi kata orang, mana ada orang gila mengaku gila? Tapi itu hak KJ. Betul atau tidak, hanya Tuhan yang tahu.
Persoalannya, bolehkah pemimpin seperti ini menjadi ketua? Jawapan saya, YA. Tapi adakah dia akan benar-benar telus dan jujur dalam menjalankan tugas? Mungkin YA, mungkin TIDAK. Kita tunggulah. ADIOS!

Monday, March 23, 2009

Umno AGM 2009


Dalam sedikit hari saja lagi, negara akan mengalami satu lagi peristiwa bersejarah, iaitu Perhimpunan Agung Umno 2009. Saya katakan ianya bersejarah kerana selepas ini kepimpinan Umno akan berubah. Yang pasti jawatan Presiden akan disandang oleh Najib Tun Razak.
Muhammad Mohd Taib dan Muhyiddin Yassin pula bersaing untuk merebut jawatan Timbalan Presiden. Calon Timbalan Presiden yang seorang lagi, Mohd Ali Rustam telah disabitkan bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno dan akhirnya tidak dibenarkan bertanding bagi jawatan itu.
Calon-calon bagi Naib Presiden masih terbuka. Begitu juga dengan jawatan Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Puteri Umno dan MT.
Saya katakan tadi peristiwa bersejarah, kerana lazimnya, pemenang bagi jawatan-jawatan yang saya sebutkan tadi akan memegang jawatan penting dalam kerajaan, sama ada Menteri, Timbalan Menteri atau jawatan lain.
Pemilihan kali ini sudah pastinya akan menyaksikan kepimpinan Umno berubah dan sudah semestinya merubah kepimpinan negara yang dimonopoli oleh Umno, selaras dengan pelan peralihan kuasa Pak Lah dan Najib.
Perubahan kepimpinan ini sudah mendapat reaksi pro dan kontra. Bagi yang pro-Najib, kepimpinan Najib amat ditunggu-tunggu. Bagi yang anti-Najib, peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib dianggap sebagai satu mimpi ngeri dalam sejarah negara kita.
Tempoh 3 hari nanti sudah semestinya amat kritikal. Yang pasti, penduduk negeri Sabah juga tidak sabar menunggu hari yang bersejarah ini. Sama-samalah kita nantikan keputusannya.