Friday, April 3, 2009

PM Baru, Harapan Baru?

Selepas pelbagai kontroversi, akhirnya Najib Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-6 pagi tadi di Istana Negara dan melengkapkan teori RAHMAN.
Najib memegang rekod peribadi tersendiri sepanjang karier beliau sebagai ahli politik sejak 1976, iaitu Ahli Parlimen termuda (23), Timbalan Menteri termuda (25), MT Umno termuda (28), Menteri Besar termuda (29) dan seterusnya Menteri termuda (33).
Adakah dengan pengalaman yang sebegini luas boleh dijadikan ukuran terhadap keupayaan Najib? Najib mungkin bernasib baik kerana lahir di kalangan keluarga yang terlibat secara langsung dengan politik. Beliau merupakan anak kepada Tun Razak (PM Malaysia Ke-2) dan anak buah Tun Hussien Onn (PM Malaysia Ke-2).
Lahir dari kalangan keluarga berada, Najib juga telah dihantar ke London seawal umur 12 tahun dan dikatakan hanya dibenarkan pulang ke tanah air sekali dalam setahun sehingga berusia 23 tahun. Ini sudah tentunya akan memberikan kesan terhadap cara pemikiran Najib.
Persoalannya, adakah Najib akan mampu menggalas tugas sebagai Perdana Menteri? Seperti ayahnya, Tun Razak, Najib mewarisi kepimpinan negara ketika negara sedang dilanda krisis. Tun Razak menggalas tugas berat ketika menggantikan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri kerana pada masa itu negara sedang dilanda konflik perkauman yang agak hebat sehingga negara telah diletakkan di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
Tetapi dengan pengalaman, kesungguhan dan sudah tentunya sokongan dari semua pihak akhirnya Tun Razak, walaupun hanya dalam tempoh 6 tahun (meninggal dunia pada 1976 akibat sakit jantung), telah berjaya menyatupadukan rakyat dan membangunkan negara sehingga digelar Bapa Pembangunan Negara. Dasar Ekonomi Baru, Rukunegara antara legasi yang telah ditinggalkan oleh Tun Razak.
Hari ini, Najib menggalas tugas Perdana Menteri dan bakal berdepan dengan pelbagai cabaran. Antaranya isu ekonomi, isu perkauman(Hindraf), tuntutan masyarakat Cina, isu penggunaan perkataan 'Allah' dan banyak lagi.
Soalnya sekali lagi, mampukah Najib menggalas tugas ini? Adakah kemampuan Najib akan dapat mengatasi reputasinya yang agak tercemar sekarang ini? Mungkin terpancar sedikit sinar apabila sejurus selepas menjawat jawatan Perdana Menteri, Najib telah mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA dan menarik balik pengharaman ke atas dua akhbar pembangkang. Tetapi masih ada yang khuatir bahawa ini hanyalah taktik biasa yang digunakan untuk memancing undi kaum India yang semakin lama semakin jauh meninggalkan BN.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim juga telah menyuarakan kebimbangan bahawa Najib akan menggunakan kekerasan untuk menyekat sebarang bentuk halangan yang boleh menggugat kuasanya. Tidak mustahil, kerana Najib banyak berguru dengan Tun Mahathir yang selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri dikatakan juga menggunakan cara yang sama.
Harapan mungkin juga sedikit terpancar apabila Najib mengumumkan konsep 1 Malaysia. Ramai yang percaya jika ianya dapat dilaksanakan dengan seikhlas dan setelusnya, maka kita akan berada di landasan yang betul. Tetapi mampukah Najib?
Bagaimana pula dengan hubungan antarabangsa selepas ini? Biarpun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Najib bahawa dia tidak terlibat dengan pembunuhan Altantuya Sharibuu, tetapi nampaknya media antarabangsa tertarik untuk menyiarkan berita. Walaupun kita tidak tahu kebenaran dakwaan ini, tetapi ia pasti akan memberikan sedikit impak.
Saya bukanlah seorang penganalisis politik seperti Razak Baginda. Tetapi apa yang saya tulis adalah berdasarkan kepada perbualan rakan-rakan. Kalau hendak dibincangkan terlalu banyak spekulasi yang melanda Najib dan sudah tentulah tiada penghujung kerana masing-masing ada hujah pro kontra.
Cuma harapan saya, agar Sabah akan mendapat bahagian yang sepatutnya, dan tidak lagi 'OVERLOOKED' seperti yang dibuat oleh Mahathir tidak lama dulu.

1 comment:

Admin said...

anda dijemput ke http://bloggersabahan.boardsmessage.com